13 June 2010

Pin It

Widgets

PEMOTONGAN SUBSIDI; WAJARKAH?

Jikalau kerajaan Britain memilih untuk mengurangkan kadar defisit negara mereka dengan “cara mencantas” dan memotong perbelanjaan dan kemewahan yang dinikmati oleh barisan menteri kabinet Britain dan juga golongan yang berkemampuan, kerajaan Malaysia ada cara tersendiri. Fikir punya fikir, akhirnya kerajaan Malaysia dah jumpa mekanisme untuk mengatasinya.

Kerajaan Malaysia pula memilih untuk mengurangkan belanja subsidi yang dikatakan sudah tidak tertanggung lagi. Kata kerajaan Malaysia, inilah cara yang terbaik untuk mengelakkan ketirisan dan hasil subsidi ini terus dinikmati oleh golongan mewah. Hasilnya? Seperti di bawah……

1. Kenaikan Harga Petrol :
Kerajaan akan menaikkan harga petrol dengan kadar 15 sen untuk setiap liter daripada harga petrol ketika ini iaitu RM1.80 (RON 95). Kerajaan Malaysia berharap dengan cara ini ia dapat mengurangkan anggaran defisit negara Kenaikan harga petrol akan terus dinaikkan sebanyak 20 sen setiap liter pada tahun 2011. Begitu juga akan berlaku dua kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen bagi setiap liter pada tahun 2012.

2. Kenaikan Harga Tol :
Perbincangan antara PLUS dan LDP yang mana mencadangkan bahawa semua perjanjian konsesi akan diteruskan tanpa subsidi dan ini bermakna akan berlakunya kenaikan harga tol antara 10-67 peratus untuk tahun 2010.

3. Kenaikan Harga Gas :
Harga gas akan naik sehingga tahap RM3/MMBTU untuk setiap 6 bulan. Kenaikan harga gas sebanyak RM3/MMBTU untuk setiap enam bulan dikatakan sesuai berikutan akan berlkau kenaikan kadar tarif elektrik sebanyak 1.6 sen / kWh (setiap enam bulan) untuk power sector dan non power sector.

4. Kenaikan Tarif Elektrik :
Sekitar 56 peratus isi rumah tidak akan terjejas dengan gelombang pemotongan subsidi kali ini. Bagi pelanggan yang menggunakan kurang dari 200 kWh caj mereka tidak akan meningkat. Bagi pengguna yang memiliki bil elektrik hanya RM20 dan kebawah akan terus mendapat kemudahan elektrik percuma sehingga Disember 2010 ini. Dalam pada masa yang sama industri strategik akan dilindungi.

5. Kenaikan Harga Gula :
Harga gula akan meningkat sebanyak 20 sen untuk setiap kilogram. Kenaikan harga gula akan berlaku pada setiap 6 bulan sehingga tahun 2012.

6. Kenaikan Harga Tepung :
Harga Tepung akan meningkat sebanyak 20 sen/kg pada tahun 2010 manakala kadar kenaikan sebanyak 25 sen setiap kg pada tahun 2011

7. Kenaikan Harga Minyak Masak :
Harga minyak masak akan naik sebanyak 15 peratus untuk setiap kg pada tahun ini (2010) dan 2011. Selepas itu kadar kenaikan minyak masak adalah 5 % sehingga tahun 2014.

Inilah hasil yang kerajaan Malaysia perolehi selepas dasar pemotongan ini dijalankan :

2010 – RM3 billion
2011 – RM14 bilion
2012 – RM21 bilion
2013 – RM29.5 bilion
2014 – RM35 bilion

Akhirnya, dengan beberapa kenaikan harga harga dan lain-lain bermula tahun 2010 berikutan pemotongan subsidi, ini akan membolehkan jumlah tabungan negara untuk tempoh 5 tahun dijangkakan sebanyak RM103 bilion.
Namun begitu, rancangan pemotongan subsidi ini tidak mendapat persetujuan daripada beberapa pihak. : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor bimbang pelan pemotongan subsidi yang dilakukan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bakal mencetuskan impak negatif kepada kehidupan rakyat. Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut berkata, rakyat tertekan dengan pemotongan subsidi kerana ia akan meningkatkan kos perbelanjaan rakyat ketika pendapatan kian merosot.

Justeru, katanya, AMK Selangor menyatakan rakyat sewajibnya tidak dibebani dengan kenaikan harga keperluan dan perkhidmatan, sebaliknya soal pembaziran, penyelewengan dan ketirisan dalam kerajaan perlu diberi perhatian. AMK Selangor membidas kerajaan yang hilang fokus dalam membawa idea yang boleh meningkatkan pendapatan rakyat.

Agensi berita Reuters melaporkan Kabinet akan bermesyuarat 26 Mei depan untuk membincangkan usul memotong rejim subsidi keatas minyak, gas asli, makanan dan tol lebuhraya. Najib sebelum ini menyakinkan pengundi seluruh negara bahawa harga keperluan asas tidak akan naik, namun Reuters melaporkan BN kini mempertimbang semula keputusan itu kerana defisit negara membengkak ke rekod tertinggi sejak 20 tahun lalu.

Ezli berkata, kerajaan harus melaksanakan polisi yang menguntungkan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi kerajaan meuar-uar pertumbuhan suku pertama 2010 mencecah 10 peratus. Beliau menggesa penstrukturan semula subsidi ini mengambil kira kesusahan rakyat khususnya perkara asas seperti subsidi bahan api, gula, tepung, makanan, pertanian dan bahan keperluan utama rakyat.

Katanya, AMK Selangor prihatin kepada nasib rakyat kerana penstrukturan semula subsidi mendatangkan kemudaratan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos sara hidup. AMK Selangor terus memastikan jika kerajaan pimpinan Najib melaksanakan penstrukturan semula subsidi kelak, jangan sesekali memangsakan rakyat dalam melaksanakan polisi baru.
Menteri Kabinet, Datuk Seri Idris Jala, 27 Mei lalu berkata, negara akan bankrap pada 2019 jika subsisi yang diberikan sekarang tidak dihentikan. Apa yang disebut itu tidak berbeza dengan apa yang diperkatakan Profesor Dr Danny Quah dari London School of Economics sebelum itu: Malaysia akan jadi Greece jika ia tidak berbuat perubahan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal amaran itu kerana ia tidak memberi perhatian kepada rasuah, ketirisan dan pembaziran yang sebenarnya menelan banyak dana awam. Beliau turut menarik perhatian bahawa ramalan itu terjadi setahun sebelum 2020; sasaran untuk mencapai wawasan negara maju yang diimpikan oleh pentadbiran Mahathir.

Menurut Profesor Dr Abdul Aziz Bari, mengajar undang-undang selama lebih 20 tahun. beliau tertarik dengan reaksi Charles Santiago, Ahli Parlimen DAP dari Klang, Isnin lalu, yang meminta kerajaan membubarkan Parlimen supaya rakyat dapat memilih kerajaan baru yang lebih cekap mengurus ekonomi. Beliau menyebut tinjauan kerajaan sendiri yang mendapati bahawa 66 peratus tidak setuju subsidi dihentikan serta merta. Ahli parlimen itu menyatakan pemotongan subsidi harus dilakukan setelah langkah-langkah lain seperti sistem kerajaan yang lebih telus, pengurangan saiz perkhidmatan awam dan pemotongan perbelanjaan kurang perlu lainnya. Sementara itu dalam tempoh beberapa jam selepas Idris membuat kenyataan itu hampir 97 peratus rakyat yang memberi komen kritikal kepada kerajaan. Santiago turut menyebut kerugian yang ditanggung syarikat milik kerajaan, Sime Darby.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak bersetuju sama sekali rancangan kerajaan pusat untuk menghapuskan subsidi yang diberikan kepada rakyat, untuk menyelamatkan negara daripada muflis. Tegas beliau, Malaysia adalah sebuah negara yang kaya, meliputi pelbagai sumber pendapatan. Malaysia mempunyai minyak dan gas, eksport kelapa sawit, kilang-kilang dan sebagainya, tetapi Malaysia dirosak oleh rasuah dan pengurusan ekonomi yang sangat lemah.

Namun begitu, sekiranya pemotongan subsidi akan terus dijalankan, ia haruslah dilaksanakan secara berperingkat. Ini disokong oleh badan-badan bukan kerajaan (NGO). Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, Pemotongan subsidi secara berperingkat yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini adalah satu langkah yang tepat. Contohnya, jika jangka masa yang diambil untuk melaksanakan pemotongan subsidi ini adalah 10 tahun, maka kenaikan harga barangan boleh dinaikkan sedikit sahaja, tetapi jika jangka masa yang diambil lebih singkat, kenaikan harga barangan boleh melambung lebih tinggi.

Selain itu, menurutnya pemberian subsidi yang membabitkan dua harga antara pengguna domestik dan industri menyebabkan ada pihak yang mengambil kesempatan dan akhirnya menyebabkan perbelanjaan subsidi yang berlebihan oleh kerajaan. Nilai subsidi gula pada masa sekarang adalah sebanyak RM1 bilion dimana penggunaannya setiap tahun hanyalah sebanyak RM100 ke RM200 juta sahaja. Ini menunjukkan subsidi yang hanya diberikan untuk domestik telah digunakan juga oleh industri dan menyebabkan nilai subsidi yang tinggi perlu ditanggung kerajaan.

Bagaimanapun, Sha'ani berkata jika pemotongan subsidi ini dijalankan, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme-mekanisme yang bersesuaian untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah. Dalam pada itu, bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk N. Siva Subramaniam juga berpendapat bahawa pemotongan subsidi gula dan petrol tidak dapat dielakkan. Beliau berpendapat rakyat harus sedar, subsidi ini tidak akan kekal sehingga ke akhir hayat, pemberiannya adalah bertujuan untuk menolong rakyat, tetapi ianya juga mempunyai implikasi yang serius kepada kerajaan. Pemberian subsidi gula dan petrol yang diberikan kerajaan untuk membantu rakyat dalam menguruskan kewangan mereka sering diambil kesempatan oleh segelintir peniaga yang menyeludupnya ke negara jiran.

Secara umumnya, harga barangan ini di negara-negara jiran adalah lebih tinggi, dan peniaga-peniaga yang mementingkan keuntungan sendiri menyeludup barangan yang telah disubsidi kerajaan dan menyebabkan tanggungan subsidi yang lebih tinggi dan mengurangkan stok rakyat sedia ada.

Siva yang juga bekas Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berkata, pemotongan subsidi ini juga akan dapat melatih rakyat supaya lebih berhati-hati dalam berbelanja dan juga menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat. Malaysia pada masa sekarang adalah negara yang ketiga mempunyai pesakit diabetes teramai dan pemotongan subsidi gula khususnya akan dapat membantu rakyat supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, Sekarang sudah tiba masanya rakyat menerima hidup tanpa subsidi, dan mengamalkan hidup berjimat cermatKkenaikan gaji pekerja akan diusulkan sehubungan dengan kenaikan harga barangan nanti, jadi rakyat tidak perlu risau kerana perubahan seperti ini tetap akan berlaku.

Sementara itu, presiden Persatuan Penasihat Pengguna-pengguna Malaysia, Varatharajoo Murugan berkata pengguna-pengguna tidak perlu risau kerana setiap langkah yang diambil oleh kerajaan mesti telah dikaji sebaik mungkin. Namun begitu, katanya, kerajaan haruslah memberikan penjelasan yang terbaik kepada rakyat supaya tiada masalah timbul di masa hadapan. Kerajaan harus prihatin dan mengawal pemberian subsidi dengan lebih telus kerana terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan terhadap pemberian subsidi ini. Seperti keadaan sekarang dimana kekurangan gula berlaku di seluruh negara, namun terdapat segelintir pasar raya besar yang menjualnya secara besar-besaran, ini menimbulkan pelbagai keraguan terhadap rakyat.

Dr Mohamad Khir Toyo juga turut mencadangkan beberapa langkah untuk membendung isi pemotongan subsidi daripada menjadi suatu isu yang lagi besar. Beliau mencadangkan agar diwujudkan mekanisme baru subsidi bagi menentukan had kemampuan kerajaan memberi subsidi dan menentukan sektor yang akan mendapat subsidi mengikut kepentingan masyarakat ramai. Sebaliknya apa yang diumumkan ialah usaha kerajaan untuk menarik balik semua subsidi bagi menambah kantung negara untuk tujuan projek pembangunan. Mengumumkan kerajaan akan muflis pada 2019 jika kerajaan meneruskan subsidi bukan satu perkara yang bijak politik, malah pandangan tersebut masih boleh dipertikaikan ketepatannya.

Antara cadangan-cadangan lain daripada beliau adalah;

1.Subsidi dan Monopoli
Mungkin kerajaan perlu menghapuskan subsidi dalam beberapa industri yang tidak begitu utama kepada rakyat seperti gula. Namun penghapusan subsidi ini perlu dijalankan serentak dengan liberalisasi industri tersebut. Benarkan sesiapa sahaja mengimpot gula dan bersaing dengan terbuka. Demikian juga beras, jika kerajaan mahu menghapuskan subsidi beras, jalan terbaik ialah menghapuskan monopoli beras dan kawalan kemasukan beras negara luar. Kerajaan tidak boleh dalam satu keadaan menarik subsidi tetapi dalam masa yang sama mahu menentukan "pemain" industri. Kerajaan tidak boleh melakukan dua perkara yang kontradik dalam masa yang sama. Dalam keadaan kerajaan tidak mahu menanggung beban kewangan, kerajaan pula mahu bertindak sebagai penguasa yang menghalang rakyat mendapat barangan murah.

2. Subsidi Petrol dan Inflasi
Subsidi sungguhpun ada keburukan kepada ekonomi negara namun dalam banyak hal ia juga membantu rakyat dan ekonomi. Ada subsidi membantu mengawal kestabilan ekonomi dan kos sara hidup sekaligus merancakkan pusingan ekonomi hasil daripada nikmat subsidi seperti mana subsidi petrol. Jika harga petrol terlalu tinggi ia akan menyebabkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak lagi keluar membeli belah, bersiar, mahu pun melancong di dalam negara. Ini sekaligus mengurangkan putaran ekonomi negara. Dalam jangka masa panjang ekonomi negara akan meleset sekaligus akan lebih merugikan kerajaan. Status harga petrol sepatutnya dikekalkan seperti sekarang iaitu, Petrol RON 95 dijual dengan subsidi 30 sen seliter. Manakala Petrol RON 97 dijual mengikut harga pasaran. Ini satu yang telah diterima oleh rakyat dan sewajarnya diteruskan. Malahan saya ingin menyarankan agar harga Ron 97 ditentukan terus oleh syarikat minyak tanpa campur tangan kerajaan.

Dalam pada itu, pam bagi petrol RON 97 juga harus diperbanyakkan bagi membolehkan mereka yang ingin menggunakan RON 97 tidak perlu menunggu lama akibat pam yang terhad. Stesen minyak harus menyediakan pam yang sama banyak antara petrol RON 95 dan RON 97. Ini akan menggalakkan lebih ramai pengguna menggunakan RON 97.

3.Jangan Usik Subsidi Pendidikan
beliau turut berharap agar kerajaan tidak mengambil keputusan "mengacau" peruntukan subsidi dalam bidang pendidikan. Ini kerana ia merupakan masa depan anak-anak kita. Kerajaan sepatutnya mencari jalan memberi lebih banyak pendidikan murah dan percuma kepada rakyat bukannya berusaha menambah beban perbelanjaan pendidikan kepada rakyat.Kita mungkin dapat menjimat perbelanjaan negara dengan menarik subsidi pendidikan namun dalam masa akan datang lebih banyak akan dibelanja oleh kerajaan ba gi menangani pelbagi masalah sosial, jenayah dan kemiskinan apabila generasi muda tercicir dalam pendidikan.

4.Menambah Pendapatan Negara
Beliau melihat kerajaan lebih ke arah mencari jalan mengurangkan perbelanjaan subsidi berbanding mencari jalan menambah pendapatan. Sesiapa sahaja yang dilantik menjadi Menteri tentu boleh menyelesaikan masalah pendapatan negara jika sekadar mahu mencadangkan penghapusan subsidi.
Sebaliknya kita mahu Menteri yang boleh mendapatkan pendapatan negara yang lebih besar bagi membantu rakyat dalam negara. Kita memerlukan menteri yang boleh meningkatkan pendapatan negara tanpa menarik terlalu banyak keitimewaan yang dinikmati rakyat. Apa salah subsidi jika ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat? Bukankah tugas kerajaan mensejahterakan kehidupan rakyat?

Apa yang perlu kerajaan lakukan hari ini ialah meningkatkan pendapatan negara bagi membolehkan pendapatan negara berkali ganda lebih besar daripada perbelanjaan subsidi. Rakyat mahu melihat kesungguhan kerajaan meningkatkan pendapatan negara bagi membantu mereka bukannya menarik keselesaan rakyat bagi memberi lebih banyak wang kepada kerajaan

Secara kesimpulannya, adalah benar bahawasanya rakyat tidak patut bergantung sepenuhnya kepada subsidi kerajaan dan pemotongan subsidi dapat dilihat sebagai salah satu cara untuk mematangkan rakyat dalam mengendalikan urusan harian. Namun, rancangan pemotongan subsidi tersebut perlu ditimbang-tara agar tidak terlalu membabankan rakyat yang berkuasa untuk mengundi kerajaan pimpinan pilihan mereka. Adalh tidak mustahil suatu hari nanti tiada lagi subsidi dibekalkan kepada rakyat, namun ia mestilah dilakukan secara berperingkat, bukan dalam sekelip mata kerana rakyat juga memerlukan masa untuk membiasakan suausana kehidupan dengan perubahan yang baru.

No comments:

Post a Comment