Dunia tidak lama lagi akan dihangatkan dengan satu agenda yang dipanggil Piala Dunia bolasepak. Agenda yang diadakan setiap 4 tahun sekali ini bertujuan untuk menentukan siapa yang layak untuk memegang gelaran juara dunia dalam acara bola sepak. Sudah semestinya pemain-pemain bertaraf dunia akan beraksi dan mempamerkan skil-skil yang mengkagumkan dan pasti kemudian akan dipuja dan ditiru oleh peminat sejati bola sepak. Sebut sahaja Cristiano, Torres, Messi dan sebagainya pastinya dunia amnya kenal mereka. Barangkali dari segi rembatan, cara menggelecek bahkan stail rambut atau senyuman mereka seboleh-bolehnya akan cuba dijadikan contoh dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian.
Namun, disebalik kehangatan Piala Dunia ini, ada beberapa perkara yang perlu dipandang serius oleh setiap pihak. Pada Penghujung bulan Mei 2010 yang lalu, kerajaan Malaysia telah mempertimbangkan untuk meluluskan lesen judi bola sepak bagi tujuan Piala Dunia 2010. Dengan alasan bagi mengelakkan perjudian haram yang semakin berleluasa, peminjam wang tanpa lessen, jenayah terancang, penyeludupan, money laundering serta dengan tujuan untuk mebangunkan industri sukan negara, maka lesen judi tersebut diluluskan.
Entah apa yang bermain di fikiran mereka yang mempertimbangkan untuk meluluskan lesen tersebut. Mungkin dengan tanggapan bahawa hasil judi yang lumayan boleh disumbangkan kepada pembangunan dan perbelanjaan negara atau, lessen judi tersebut dapat menggalakkan persaingan sihat dikalangan tauke-tauke judi di dalam mahupun di luar negara sekaligus menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur asing untuk melabur di dalam negara Malaysia yang tercinta ini. Apapun tujuan, sebab dan alasan, perkara-perkara asas yang seorang Muslim tahu, judi itu adalah HARAM dalam kedaan apa sekalipun. Belum pernah ada orang yang memberikan fatwa atau pendapat bahawa judi itu adalah halal dalam keadaan -keadaan tertentu seperti Piala Dunia. Jika putih itu adalah putih, maka ia tidak akan hitam dan jika hitam itu adalah hitam, maka ia tidak akan putih. Jadi, dengan konsep yang mudah, judi itu adalah haram.
Dengan lulusnya lesen perjudian ini, ia menggambarkan sejauh mana tahap pemikiran kita. Betapa tinggi atau rendahnya maruah kita sebagai negara Islam kononya walaupun hakikatnya Malaysia bukanlah negara Islam yang sebenar. Di mana letaknya pemikiran dan maruah kita sebagai salah sebuah Negara OIC?Di mana letaknya intelek kita yang majoritinya beragma islam dan mempunyai asas pendidikan agama yang sempurna?Di mana rasionalnya kita membuat keputusan sebagai pemimpin yang bertanggungjawab pada negara?Sayang berjuta-juta kali sayang, maruah, pemikiran, status dan rasional kita sebagai rakyat negara ini telah ternoda hanya kerana Piala Dunia. Pelik tahap tertinggi apabila judi yang jelas haram itu tetap diberikan lessen untuk dihalalkan.
Begitu banyak kesan sampingan akibat dari meluluskan lessen judi ini. Antaranya, ia akan mendatangkan impak negatif kepada rakyat, bukan mendatangkan kebaikan kepada negara seperti yang dicangankan kerajaan. Kesannya termasuklah keruntuhan mutu sukan negara, mendorong rakyat bergantung kepada nasib, menurunkan produktiviti negara, meruntuhkan institusi keluarga, meningkatkan gejala sosial, meningkatkan kadar jenayah, meningkatkan beban hutang rakyat, meruntuhkan ekonomi negara dan menyalahi dasar-dasar semua agama.
Kita sibuk nak membangunkan sukan bola sepak dan badminton negara padahal perkara asas awal-awal lagi kita telah rosakkan. Apetah lagi untuk membentuk sebuah pasukan bola sepak yang mampu untuk menyertai Piala Dunia seperti mana yang rakyat Malaysia dambakan. Jauh panggang dari api. Kita sibuk melaungkan slogan Malaysia Boleh di stadium ketika Piala Thomas berlangsung sedangkan begitu banyak perkara yang perlu kita betulkan. Jika perkara seperti judi ini terus berlaku, maka industri sukan kita tidak akan ke mana. Tidak akan dapat kita ulangi kegemilangan bola sepak era Mokhtar Dahari dan kecemerlangan anak-anak arwah Haji Sidek.
Guru-guru di sekolah bertungkus lumus mendidik anak-anak bangsa dengan penerapan nilai-nilai murni tetapi penyakit sosial ini diluluskan sendiri oleh kerajaan yang membentuk sistem pendidikan negara yang mahukan nilai-nilai murni ini diterapkan. Sungguh lucu dengan tingkah laku ini seolah- olah cakap tidak serupa bikin. Sepatutnya, terlintas di benak fikiran kita bagaimana generasi pada hari ini akan memipin pada masa akan dating jika perkara begini terus dibiarkan. Jadinya, generasi-genereasi yang memimpin sekarang janganlah menyalahkan generasi pada hari ini jika kepimpinan mereka pada suatu hari nanti begitu lemah dan tidak berintegriti.
Mungkin benar dengan meluluskan lesen judi, keuntungan yang berlipat kali ganda akan diperolehi. Tetapi ingat, sejauh mane keuntungan itu akan berhasil. Kita barangkali pernah dengar ayat yang bunyinya lebih kurang begini ; seorang pelajar mungkin pada hari ini mendapat kelulusan yang cemerlang walaupun dia tidak datang ke sekolah, mengejek dan memaki guru-gurunya, mempunyai masalah disiplin yang berat, meniru di dalam peperiksaan ataupun sebagainya tetapi pada pengakhiran karier atau hidupnya dia akan kecundang dan menghadapi pelbagai masalah. Mungkin dari segi kerjaya, keluarga ataupun kehidupan sosial. Inilah yabg di maksudkan dengan soal keberkatan. Berdoalah berjuta-juta kali pun, doa tidak akan diterima jika ianya tidak mempunyai keberkatan apetah lg daripada sumber yang haram yang telah menjadi sebahagian dari darah daging.
Akhir kalam, bukanlah artikel ini bertujuan menghentam atau mengkritik mana-mana pihak akan tetapi dengan sifat neutral dan rasional yang mudah, jelas bahawa judi itu adalah haram. Jika bertanya pada murid-murid sekolah rendah pun, mereka tahu bahawa judi itu adalah haram. Jika mereka tahu judi itu adalah haram, apetah lagi kita yang berpendidikan ini. Isu-isu sebegini tidak harus dipandang mudah bahkan perlu dibanteras dengan tegas-setegasnya oleh setiap pihak.
Semoga, Malaysia yang telah merdeka ini bebas dari anasir-anasir jahat@judi yang fasad ini. Dan kita yang pastinya berjiwa merdeka pasti dapat membezakan hitam dan putih.
Sekian, wassalam~
No comments:
Post a Comment