13 June 2010

Pin It

Widgets

Facebook: Agen Propaganda atau Sumber Informasi?

Perkhidmatan rangkaian sosial merupakan satu perkhidmatan yang menumpukan pada pembinaan dan pengesahan rangkaian sosial dalam talian untuk satu komuniti yang berkongsi kegemaran dan aktiviti, atau kepada mereka yang berminat dalam mengetahui kegemaran dan aktiviti orang lain. Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial adalah berasaskan web dan menawarkan pelbagai cara interaksi antara pengguna, seperti perbualan dalam talian, bertukar pesanan, e-mel, video, perbualan suara, perkongsian fail, blog, kumpulan perbincangan, dan sebagainya. Di antara perkhidmatan rangkaian sosial yang popular pada masa kini adalah MySpace, Bebo, Friendster dan Facebook.

Fokus yang akan diberi keutamaan ialah laman rangkaian paling popular pada masa kini iaitu Facebook. Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book”

Isu mengenai Facebook hangat dibicarakan di serata dunia pada ketika ini. Bukan Facebook sahaja, malahan laman web video popular, Youtube juga tutut menerima serpihannya. Para pengguna enggan melihat secara terus mengenai isu Facebook dan terus berkhayal menggunakannya. Masyarakat masih lena diulit mimpi dan tidak menyedari bahawa terdapat kemungkinan bahawa Facebook adalah suatu mekanisme bagi masyarakat Barat untuk mengumpul maklumat berkenaan penduduk di seluruh dunia. Cukuplah dengan gambar dan informasi mengenai diri anda sendiri yang disajikan untuk tatapan umum, maklumat mengenai diri sendiri ini adalah cukup bagi sesuatu pihak untuk memanipulasi, direkod dan digunakan ke atas anda kelak. Namun begitu, ia hanyalah spekulasi yang tidak dapat ditentukan tahap kebenarannya.

Kerisauan berikutan isu ini ditonjolkan oleh Kerajaan China untuk memblok laman Facebook, Twitter, Youtube malahan Wikipedia juga turut diblok pada mulanya sebagai langkah berjaga-jaga berikutan acara Sukan Olimpik di China. Ketegangan ini disebabkan kerisauan kerajaan terhadap ancaman pengganas dan perkara-perkara seumpanya yang dapat membantutkan perjalanan Sukan Olimpik tersebut. Selepas kejayaan sukan tersebut, kebanyakan laman web ini dapat diakses semula oleh masyarakat umum. Namun begitu, penggunaan laman web ini tidak kekal lama. Laman web tersebut diblok semula peggunaannya berikutan penyiaran video Sami Buddha dibelasah dengan teruk di Youtube.

Kini, bagi pengguna yang ingin melayari laman web facebook di China akan terpapar di skrin status ‘error’ atau ‘network timeout’. Ini bermakna penduduk di China tidak mempunyai rangkaian ke laman web Facebook, Youtube dan sebagainya. Namun begitu, laman web yang seumpanya sebagai contoh Youku iaitu Youtube versi China dan Xiaonei iaitu Facebook versi China tidak diblok. Mengapakah keadaan ini berlaku? Adakah kerajaan China takut akan ancaman dari pihak luar? Apakah bentuk ancaman tersebut? Satu kemungkinan yang dapat disimpulkan ialah mungkin kerajaan China lebih takut akan kritikan dari negara luar jika dibandingkan dengan kekacauan yang berlaku di negara tersebut sendiri. Adakah terdapat propaganda disebalik tindakan kerajaan China ini? Mungkin ya dan mungkin tidak. Namun begitu, laman web yang bertujuan member sumber informasi sebagai contoh, Wikipedia, tidak sepatutnya dihalang penggunaanya. Jika ini berlaku, masyarakat tidak akan dapat berkembang dan hanya akan kekal di takuk lama. Sejajar dengan peraliran zaman, sumber informasi dari pelbagai bentuk amatlah diperlukan dari koleksi buku hinggalah menerusi rangakaian internet.

Tindakan kerajaan China ini hanyalah akan membangkitkan ketegangan di kalangan rakyat yang tidak mahu hak mereka dikongkong. Kerajaan juga tahu sekiranya mereka memblok laman-laman web seperti ini, akan terdapat beribu-ribu cara untuk mengatasinya. Sebagai contoh, perisian seperti Ultrasurf dan Freegate dikatakan mampu melepasi kawalan pihak kerajaan China. Justeru, kerajaan mengambil langkah untuk memblok juga laman web yang membekalkan kemudahan memuat turun perisian-perisian seumpamanya.

Mengikut sumber dari keratan akhbar Metro pada 27 Mei yang lalu, Afghanistan turut memblok laman web facebook kerana dikatakan kandungan laman web ini menghina nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad S.A.W. Tindakan ini adalah wajar jika dilihat kerana sesetengah pihak mengambil kesempatan di atas ruangan yang diberikan. Sepatutnya, pihak jentera facebook memblog laman yang mempunyai unsur negatif yang dapat membangkitkan perasaan perpecah belahan antara kaum. Namun begitu, facebook juga mempunyai unsur yang positif iaitu memudahkan urusan di dalam sesuatu organisasi, dapat bertemu kenalan lama dan sebagainya.

Oleh itu, terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk menggunakannya dengan apa cara sekalipun dan untuk menilainya. Jika ia digunakan dengan tujuan yang baik, maka baiklah output yang kita akan terima dan sebaliknya.

No comments:

Post a Comment