"Bila dah kembali ke Shah Alam, belajar rajin-rajin. Bila dah berjaya jangan lupakan kami di sini. Kami sentiasa menanti kepulanganmu, anakku."
"Boleh tak terus tinggal kat sini? Kami dah anggap awak macam anak kami sendiri, sunyi hidup kami bila anak-anak semua dah tak ada nanti."
Diselangi dengan air mata hiba dan gembira, demikianlah antara ucapan-ucapan daripada warga Felda Lok Heng yang menerima kunjungan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam.
Student Community Law Club (SCLC) yang merupakan kelab dalaman Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam telah sekali lagi menganjurkan program Satu Desa Sejuta Warna(Siri 2) yang mana disertai oleh 80 orang pelajar daripada pelbagai kursus pengajian. Bermula dari 26 Mei hingga 29 Mei 2014, para pelajar berkampung di Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor demi mencipta secebis kenangan dan sejuta pengalaman.
Pada asalnya program ini dirangka dengan bertunjangkan 3 prinsip utama SCLC iaitu pengajaran undang-undang (legal teaching), kesukarelawanan (volunteerism) dan keusahawanan sosial (social entrepreneurship). Untuk mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung dan para pelajar, konsep anak angkat diterapkan. Melalui program ini, para pelajar yang datang dari pelbagai jurusan dan latar belakang berbakti kepada warga kampung menerusi program kesedaran undang-undang, khidmat masyarakat dan jamuan rakyat. Aktiviti explorace bersama kanak-kanak dan malam kebudayaan turut diadakan bagi merapatkan ukhwah antara para pelajar dengan masyarakat kampung sendiri di samping dapat menghidupkan kembali budaya masyarakat Malaysia yang semakin dilupakan generasi muda kini.
Aktiviti Explorace Bersama Kanak-Kanak 6-14 Tahun
Pengajaran undang-undang kepada masyarakat Felda yang disampaikan melalui modul aktiviti berkumpulan dan juga explorace. Golongan tumpuan untuk modul ini adalah generasi muda masyarakat felda yang berumur antara 6 hingga 14 tahun. Memandangkan kes-kes penculikan dan penderaan kanak-kanak kian membimbangkan dasawarsa kini, SCLC mengetengahkan isu ini demi memberi pendedahan kepada kanak-kanak agar mereka sedar dan tahu cara-cara untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penculikan.
Pertandingan Mewarna
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi SCLC juga menganjurkan pertandingan mewarna kepada para anak-anak kecil dengan kerjasama daripada tadika Felda Lok Heng. Seramai 25 orang kanak-kanak telah menyertai pertandingan mewarna tersebut dengan ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Tujuan pertandingan seumpama ini dianjurkan adalah untuk mencungkil dan mengasah bakat kanak-kanak felda. Hadiah disampaikan oleh timbalan pengarah program, saudara Nazreen.
Pemeriksaan Kesihatan
Selain itu, kebajikan golongan belia dan masyarakat felda yang lain juga tidak dilupakan apabila SCLC menganjurkan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama dari Hospital Kota Tinggi, Johor. Tujuan pemeriksaan kesihatan ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat kampung terutama belia dan dewasa untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing tanpa perlu bersusah-payah untuk keluar dari kawasan felda untuk ke hospital. Di samping itu, pameran kesihatan juga diadakan agar komuniti kampung dapat didehkan dengan cara-cara pencegahan penyakit seiring dengan kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubat.
Jelajah kampung
Para pelajar turut diberi peluang untuk menyumbang bakti kepada warga kampung melalui aktiviti kesukarelawanan. Mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan bergerak dari rumah ke rumah bagi menawarkan khidmat bakti dan tenaga kerja secara sukarela.
Aktiviti tersebut mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penduduk kampung kerana menurut mereka, selain dapat menanamkan sikap prihatin, ia merupakan antara wadah yang terbaik bagi mendekatkan penduduk kampung dengan mahasiswa.
Bersukan bersama masyarakat kampung
Dunia menjadi saksi bahawa sukan mampu menyatukan ummah tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama. Jadi SCLC menganjurkan senam robik bersama seluruh masyarakat kampung tanpa batasan usia dari kecil hingga dewasa. Senam robik ini dikendalikan oleh Persatuan Senam Robik Felda Lok Heng yang sentiasa aktif mewakili Felda ke pelbagai peringkat. Seawal jam 7.30 pagi, semua peserta dan penduduk kampung sudah bersedia di perkarangan Dewan Umum Felda Lok Heng( Barat).
Di samping itu , SCLC juga menganjurkan perlawanan bola sepak dan bola jaring antara belia kampung dan juga para peserta. Perlawanan bola sepak yang agak sengit berakhir dengan kemenangan yang memihak kepada belia felda dengan jaringan 5 berbalas 3. Peserta program bertungkus lumus merangka serangan bertali arus, namun serangan balas yang lebih ampuh ternyata meruntuhkan kota pertahanan peserta. Walaupun cuaca hujan dan padang becak, semua pemain tetap bermain dengan bersungguh-sungguh.
Hadiah disampaikan oleh penasihat SCLC, Encik Ismail Badiuzzaman untuk pertandingan bola sepak manakalan bagi bola jaring disampaikan sendiri oleh presiden SCLC, Cik Wan Nashitah Binti Wan Othman.
Hidup cergas minda cerdas!
Malam Kebudayaan
Malam kebudayaan diadakan pada malam terakhir peserta berkampung di Felda Lok Heng. Acara ini merupakan acara kemuncak bagi program ini. Jemputan khas terdiri daripada ADUN Kota Tinggi, pengerusi Felda, keluarga-keluarga angkat dan seluruh masyarakat Felda Lok Heng. Para jemputan dihiburkan dengan majlis perkahwinan 'olok-olok' mengikut adat dan budaya masyarakat di Johor yang mana dipersembahkan sendiri oleh para peserta. Di samping itu, para jemputan juga disajikan dengan kenduri rakyat yang mana pelbagai juadah tradisional disediakan oleh masyarakat kampung sendiri dibantu oleh para peserta pada waktu pagi.
Kami juga mengucapkan terima kasih atas tajaan daripada Bank Simpanan Nasional(BSN), Glaxo Smith Kline (Ribena dan Sensodyne), LionCorp(Kodomo, Shokubutsu dan Fresh&White),Fama, Pasaraya Mydin dan Faber Castle. Kami harap dapat menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada legasi kepimpinan SCLC pada masa akan datang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Tahniah diucapkan kepada saudara Syahril Anuar Bin Harun selaku pengarah program ini.
Sekian sahaja daripada saya, Muhammad Hariz bin Abd Mutalib.
Untuk gambar penuh sepanjang program ini, sila tekan
SINI.