Bismillahirrahmanirrahim.
Ingin saya kongsikan sebuah kisah.
Dalam perbicaraan sebuah kes samun, Yang Arif sempat menitipkan kata-kata nasihat kepada tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman dengan berkata, “Dalam hidup ni, kita ada pilihan, jangan jadikan kesusahan sebagai alasan untuk melakukan jenayah.”
Memang benar. Tanpa disedari, kita sentiasa membuat PILIHAN dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil perkara seperti "Apa yang patut aku makan hari ni?”. Kita tak pernah terlepas dari membuat PILIHAN yang akhirnya menentukan arah tuju kita sebagai seorang hamba Allah.
“Katakanlah: (Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” (Al-An’am : 164)
Ayat di atas memberi maksud yang kita hanya akan menanggung dosa dari setiap perbuatan yang kita lakukan sendiri. Oleh itu, sebagai hamba Allah yang penuh dengan kekhilafan, kita hendaklah sentiasa memohon petunjuk dari Allah s.w.t ketika melakukan apa-apa jua pilihan dalam hidup ini agar tak tersalah langkah. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dalam setiap pilihan yang dibuat.
Panduan diberikan pilhan yang terbaik:
1. Berdoa
Jangan pernah kita merasa sombong dengan Allah. Tadahkanlah tangan dan amalkan adab-adab berdoa agar diberi pilihan yang terbaik sesuai dengan kehendak dan keadaan kita.
2. Berusaha
Lakukan usaha anda dengan penuh istiqamah dan bersungguh-sungguh. Contohilah makluk Allah yang kecil iaitu semut yang mampu membina koloni semut yang mampu memuatkan berjuta-juta ekor semut dengan mengangkat beban sebanyak 50 kali ganda dari berat badannya sendiri.
3. Berikhtiar
Carilah jalan untuk mencapai pilihan yang dihajati. Hilangkan perasaan malu dan amalkan sikap suka bertanya agar pilihan kita menjadi semakin jelas dan kita dapat memperolehi motivasi dari kisah kejayaan orang lain.
4. Tawakal
Walau apa jua pilihan yang bakal kita buat kelak, bertawakallah kepada Allah dengan menyerahkan diri sepenuhnya kepada ketentuannya kerana Allah Maha Mengetahui. Ingin saya berkongsi satu ayat:
“We don’t always get what we want, but we’ll always get what we need.”
Kadang-kala perkara yang kita benci adalah sesuatu yang baik untuk diri kita dan perkara yang kita sukai pula adalah sesuatu yang buruk untuk diri kita.
Semoga dengan perkongsian ini, kita dapat sama-sama membuat PILIHAN yang terbaik dalam setiap langkah kita sebagai hamba Allah.
Post ini ditulis oleh:
NOOR AIN BINTI ROSLAN
Exco Penajaan SCLC Sesi 2013/2014
No comments:
Post a Comment