03 May 2014

Pin It

Widgets

Dari Meja Exco Multimedia & Informasi : Pemerdagangan Kanak-Kanak­



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Seperti mana yang telah dipraktikkan oleh Majlis Tertinggi SCLC, pelbagai isu-isu semasa dan undang-undang yang berlaku dalam realiti kehidupan telah dibincangkan di blog ini. Dan hari ini tibalah pula giliran saya selaku Exco Komunikasi untuk membincangkan satu topik yang tidak asing dan masih berlaku di dunia hari ini iaitu pemerdagangan manusia. 

Isu permerdagangan manusia ini bukanlah fenomena baru yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini. Dan kanak-kanak antara mangsa yang sering diperdagangkan oleh mereka yang tidak berhati perut kerana golongan cilik ini tidak berupaya untuk melawan serta mudah untuk dieksploitasi. Perbincangan saya pada edisi kali ini akan lebih cenderung terhadap situasi sebenar yang berlaku di negara kita sendiri, Malaysia. 

Kes pemerdagangan orang ini melibatkan keganasan terhadap kanak-kanak seperti penderaan dan kecederaan fizikal dan mental, pengabaian, eksploitasi dan penderaan seks.


DERITA KANAK-KANAK MANGSA PEMERDAGANGAN : 


Bernama pernah melaporkan tentang derita yang ditanggung oleh seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa eksploitasi. Lina (bukan nama sebenar), hanyalah seorang gadis cilik yang berusia lapan tahun. Pada usia seperti ini, Lina seharusnya mengisi masa lapangnya dengan menghabiskan masa disekolah, bergaul bersama rakan-rakan seusianya serta mengulangkaji pelajaran. 

Namun nasib Lina tidak seindah yang dilalui kanak-kanak seusianya. Dia melalui hari-hari yang gelap sejak beberapa bulan lepas setelah dijual bapa kandungnya sendiri kepada pihak ketiga yang kemudian memperdagangkan dirinya untuk tujuan seks. Lina dipaksa untuk bekerja dengan memberi perkhidmatan seks kepada lelaki yang boleh dipanggil abang, bapa malahan datuk kepadanya. Lina yang dikawal oleh lelaki yang dipanggil "uncle", tidak mengerti dengan apa yang sedang dilaluinya dan kenapa diperlakukan sebegitu apatah lagi untuk memahami akan haknya sebagai seorang kanak-kanak. 


Hakikatnya ramai yang tidak sedar, kes sebegini berlaku dalam masyarakat kita. Realitinya, kisah Lina hanyalah secubit kisah daripada kehidupan sebenar kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Jika kita beranggapan, isu pemerdagangan kanak-kanak hanya berlaku di negara seperti Thailand, Filipina, Vietnam dan Kemboja, ia adalah silap kerana sebenarnya jenayah tersebut turut berlaku dengan meluas di negara ini. 

Malaysia kini bukan sahaja dijadikan sebagai negara transit malahan mengeksport dan terlibat dengan negara destinasi untuk aktiviti pemerdagangan.
Menurut statistik, antara Februari 2008 hingga October 2010, sebanyak 118 kes pemerdagangan kanak-kanak dilaporkan di Malaysia dan sebanyak 1,843 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama di sekitar negara Asia. 

KENAPA KANAK-KANAK ? : 


Persoalan yang sering timbul ialah mengapa pengeksploitasi ini kerap berlaku kepada kanak-kanak ? 

Keadaan fizikal dan pemikiran yang belum matang menyebabkan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki dan wanita dewasa.

Kanak-kanak didefinasikan oleh undang-undang dunia (International Laws) sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Sama ada bayi sehingga yang berumur 18 tahun, kanak-kanak boleh menjadi mangsa aktiviti jenayah pemerdagangan manusia yang bergantung kepada bentuk ekploitasi yang dikehendaki. Antaranya, remaja kebiasaannya digunakan untuk pelacuran atau ekploitasi seks, kanak-kanak bawah 10 tahun digunakan untuk meminta sedekah, manakala bayi dijual terutama kepada keluarga yang tidak mempunyai anak. 

Pertubuhan Buruh Antarangsa (ILO) menganggarkan RM48 billion setahun diperoleh daripada sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak yang menjadikan jenayah penyeludupan manusia adalah yang ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api. Hal ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang tidak berperikemanusian mengaut keuntungan yang banyak dengan hanya memperdagangkan insan kerdil yang tidak berdosa. 

Menurut Pengutip dana dan Pakar Advokasi Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainudin berkata kadang kala di kalangan kanak-kanak yang meningkat dewasa mengetahui mereka dieksploitasi untuk memberi khidmat seks namun mereka tidak mengetahui atau menyedari tahap penganiayaan yang diperlakukan atau kesan fizikal dan mental. Tambah beliau lagi, terdapat banyak faktor yang mendorong kanak-kanak ini mudah terpedaya sehingga dengan rela hati bersetuju untuk dibawa dari satu tempat ke satu tempat tanpa mengetahui mereka bakal dieksploitasi. Ada sebahagian mereka dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, berkahwin dan dapat hidup lebih bahagia. Lebih parah, ada juga dijual keluarga sendiri dan diculik oleh sindiket untuk dijual. 

Dr Hartini juga berkata bahawa penjualan bayi merupakan antara aktiviti yang aktif dilakukan. Ini adalah kerana kebanyakan pasangan yang tidak mempunyai zuriat akan membeli bayi tanpa mengetahui latar belakang mereka. Hal ini akan menjadi lebih serius jika tidak dibendung kerana ia menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai wang mampu membeli apa sahaja, termasuklah melibatkan diri dalam sindiket jual beli bayi. Selain penjualan bayi, kanak-kanak yang diperdagangkan dijadikan pelacur,peminta sedekah, keldai dadah serta banyak lagi aktiviti jenayah lain yang menggunakan mereka sebagai orang tengah.


KANAK-KANAK DIPERDAGANG UNTUK SEKS : 


Kebanyakan wanita yang menjadi pelacur adalah mangsa yang diperdagangkan sejak kanak-kanak. Anggaran umur kanak-kanak yang menjejaki dunia pelacuran bermula seawal usia 13 tahun. 

Dr Hartini berkata, ada juga kanak-kanak yang diperdagangkan untuk menjadi pelacur seawal umur lapan tahun seperti yang berlaku ke atas Lina yang kini masih menjalankan aktiviti tersebut setelah dijual bapanya. "Ia adalah kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita." 

Ekploitasi seks bukan hanya berlaku kepada kanak-kanak perempuan malahan kepada kanak-kanak lelaki yang nisbahnya adalah sama. Selain dijadikan pelacur, mereka diekploitasi untuk rakaman bahan video lucah, menjadi pelayan seks dan segala aktiviti eksploitasi seks yang boleh memberikan keuntungan.Permintaan yang tinggi terhadap pelacur kanak-kanak membuatkan industri ini bagai tiada penamatnya, malah mereka yang berminat untuk melanggan sanggup membayar walaupun harganya lebih tinggi berbanding pelacur dewasa. 

"Sebab itu kanak-kanak lebih bernilai, kerana mereka dapat mengaut keuntungan yang tinggi malah boleh digunakan sehingga dewasa. Jadi amat penting untuk menghapuskan ‘demand and supply’ kerana jika tiada permintaan, tidak wujud industri tersebut," katanya. 


KAEDAH UNTUK TUJUAN PEMERDAGANGAN : 

Selari dengan arus pemodenan hari ini, penggunaan internet merupakan cara paling mudah untuk mendapatkan pelanggan. Pelanggan boleh melanggan dan melihat wajah kanak-kanak itu melalui kamera video dalam ruangan 'chat room' yang disediakan. 

Dr Hartini turut menambah bahawa terdapat senario baru yang berlaku dalam dunia pemerdagangan ini. Tinjuan beliau di sepanjang Jalan Raja Laut menuju ke Jalan Pahang hingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman menunjukkan kanak-kanak yang menjadi mangsa pemerdagangan kini membentuk komuniti mereka dan bergerak sendiri dengan memperdagangkan diri mereka tanpa bergantung kepada sindiket atau orang dewasa. 


KERJASAMA PIHAK BERKUASA : 



Menurut Dr Hartini, melihat pada lanskap jenayah pemerdagangan manusia yang semakin kompleks hari ini, satu pendekatan yang lebih tersusun perlu dilakukan kerajaan yang membabitkan semua agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam, Marin dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. 

Ini berikutan bahawa bukan mudah untuk mendekati golongan ini, baik kanak-kanak itu sendiri mahupun sindiket yang terlibat. Selain didorong oleh perasaan takut, kanak-kanak yang terlibat merasakan bahawa mereka terpaksa melakukan aktiviti ini untuk meneruskan kehidupan seharian. 

Disamping itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan bahawa bagi tahun keempat berturut-turut, Malaysia diletakkan di kedudukan kedua dalam senarai pemerhatian Jabatan Negara Amerika Syarikat kerana kegagalan mematuhi piawaian minimum dalam mematuhi Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Orang Amerika Syarikat 2000 (TVPA). Ini adalah kerana pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat mengaitkan kedudukan Malaysia dengan kekurangan kemajuan signifikan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia dalam menangani pemerdagangan orang. 

Berdasarkan hasil pendapat yang diperolehi melalui sesi dialog bersama pelbagai pihak berkepentingan berkaitan isu mangsa pemerdagangan, pihak suruhanjaya telah mencadangkan syor berikut:
 • Semua mangsa disediakan dengan pemeriksaan kesihatan serta-merta setibanya di pusat-pusat perlindungan, serta lawatan berkala oleh kakitangan perubatan.
 • Mangsa dimaklumkan status kes mereka dan sebuah mahkamah khas diwujudkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes berkaitan anti-pemerdagangan orang. 

Sebagai kesimpulan, kerjasama pelbagai pihak amatlah penting untuk mengani isu ini. Penglibatan pihak NGO perlulah dipergiat bagi mengendalikan perkara ini kerana masih banyak usahasama yang perlu dilakukan terutama untuk mendapatkan maklumat bagi mengenalpasti permasalahan sebenar. 

Sekian sahaja coretan saya pada edisi ini. PEACE NO WAR!



http://www.kevintrowbridge.com/blog/wp-content/uploads/2012/01/post_divider.jpg
Post ini ditulis oleh:
NUR AIMY FARHANA BINTI NOH
Exco Multimedia & Informasi SCLC Sesi 2013/2014

No comments:

Post a Comment