Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, sesungguhnya syukur kita masih bernafas di bumi pinjaman Allah dan dikurniakan nikmat Iman dan Islam yang sempurna. Tidak lupa, Allah memelihara baik aib kita di dunia juga insyaAllah di akhirat kelak.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, kini tiba giliran saya menyampaikan sedikit perkongsian. Saya ingin berkongsi mengenai amanah yang diberi oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Dalam Islam, amanah adalah satu sikap terpuji dimana kita dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Amanah ini merupakan tunjang dalam kehidupan seorang muslim. Hal ini tidak boleh dipandang remeh kerana Allah meletakkan amanah disetiap bahu individu muslim itu sendiri.
Pelaksanaan amanah ini amat luas skopnya sama ada memenuhi tuntutan sebagai hamba Allah, amanah terhadap ibu bapa, keluarga, sahabat-sahabat, masyarakat di luar dan tidak lupa amanah dalam menggerakkan agama Allah.
Saya ambil situasi paling dekat dengan kita. Sebagai pelajar di UiTM, saya pasti ramai di luar sana ada memegang jawatan dalam sebuah organisasi. Sifat tanggungjawab, jujur dan tidak mementingkan diri sendiri ini semua dapat disatukan menjadi satu amanah. Hal ini kerana kita diberi kepercayaan oleh individu lain dalam menggerakkan sesebuah organisasi. Jika kita lalai dan berlaku penyelewengan, ternyata kita gagal dalam amanah yang telah diberi.
Dalam Surah Al-Ahzab, ada menyatakan segi kezaliman dan kebodohan manusia ialah mahu menerima tugas tetapi tidak melaksanakannya. Ini dapat dilihat menerusi ayat 72,
“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu manusia pun memikul amanah itu. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.”
Seterusnya, tidak lupa juga amanah kita terhadap ibu bapa. Ibu bapa ini merupakan pinjaman daripada Allah. Allah ingin melihat bagaimana kita melaksanakan amanah terhadap ibu bapa. Adakah kita menjaga baik ibu bapa sebagaimana mereka menjaga baik kita dari kecil lagi? Adakah kita sebagai individu muslim dapat membentuk sebuah baitul muslim? Persoalan-persoalan seperti inilah yang harus kita renung dan bertindak.
Oleh itu, peringatan untuk diri saya sendiri hendaklah kita bersungguh-sungguh dan menyempurnakan amanah sebaik-baiknya kerana amanah ini bukanlah mudah kerana takut kita tergelincir dalam amanah yang dipikul. Wallahu a’lam..
“Sesungguhnya Allah menyuruh menyerahkan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia, hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (An-Nisa’ : Ayat 58)
Post ini ditulis oleh:
NUR FADILAH ADIDAH BINTI ZUBIR
Exco Pembangunan Sosial & Masyarakat SCLC Sesi 2013/2014
No comments:
Post a Comment