17 May 2014

Pin It

Widgets

Dari Meja Exco Penajaan : Hormati Perbezaan Pendapat



Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu mengenai tajuk ini kerana merasakan, ramai dalam kalangan manusia yang tidak mampu berlapang dada menerima pendapat manusia lain walaupun dia mempunyai pendapat sendiri, tidak kira dalam pelbagai urusan. 

Saya dengan cara saya. Awak dengan cara awak. Dia dengan cara dia. Selalu begitu, bukan ? 

Perbezaan pendapat sebenarnya adalah sangat baik kerana ia mencetuskan idea yang berlainan, cara fikir yang berbeza serta pengetahuan yang meluas. Sesungguhnya, perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat. Yang menjadi rahmat itu apabila masing-masing berbesar hati menerima dan bersedia berhujah dengan hujah ilmiah tanpa di dorong dengan nafsu amarah.

Saya berikan satu analogi. Ada tiga orang pelajar duduk di dalam kelas dan memandang ke luar. Seorang melihat kepada pokok, seorang lagi melihat kepada awan, dan seorang lagi melihat kepada kereta guru. Jelas sekali, semuanya pasti mempunyai tafsiran berbeza terhadap objek. 

Dalam berbilion-bilion manusia, jarang sekali mempunyai pendapat yang sama pada waktu yang sama. Oleh sebab itulah kita harus menerima perbezaan pendapat, walaupun ramai yang tidak mampu menerima kerana sudah terbiasa dididik dengan rasa “Aku betul!” 

Apabila berlaku perbezaan, hatinya cepat marah. Orang-orang cerdik ada mengatakan “cerek yang kecil lebih mudah panas, begitu juga orang yang berhati kecil”. Kenapa perlu merasa panas hati apabila orang lain berpendapat berbeza? Kenapa perlu marah? Kenapa perlu melenting? Kerana pengalaman hidup manusia itu tidak pernah sama. 

Si A memandang pokok kelapa kerana dia hanya mempunyai pengetahuan tentang buahnya. Tetapi si B apabila memandang pokok kelapa, dia tahu dari daun, batang sehingga ke buah mempunyai kegunaan tersendiri. 

Macam tu jugaklah orang yang belajar. Kita mungkin belajar pada tempat berbeza dengan guru yang berbeza. Pemahaman kita dengan orang lain sudah tentu berbeza. Mana mungkin Si A belajar dengan guru B tetapi mengetahui apa yang diajarkan oleh guru C pada masa yang sama. 

Orang yang tidak boleh menerima pendapat orang lain menunjukkan bahawa dia orang yang berfikiran negatif dan selalunya baran. Orang begini tidak boleh bekerja secara berkumpulan kerana pasti mendatangkan masalah. 

Pernah suatu ketika seorang ahli falsafah yang bernama Galileo Galilei yang lahir di Pisa pada tahun 1564 ditangkap oleh pihak gereja pada zamannya hanya kerana berbeza pendapat dalam hal samada bumi itu bulat atau tidak. 

Beliau mendapati bumi itu bulat, ini bermakna dia bertentangan dengan pendapat gereja kerana kepercayaan gereja ketika itu adalah bumi itu leper, Justeru, dia ditangkap kerana berbeza pendapat dengan pihak gereja. 

Selain itu, cerdik pandai pernah mengatakan “Cara kita melihat menentukan siapa kita”. Benarlah begitu, kerana seseorang yang menjadikan suasananya positif pasti akan melihat semua perkara adalah positif. 

Cuba kita hadapi perbezaan pendapat dengan senyuman. Nescaya masalah itu pasti senyum kembali kepada kita. Sekurang-kurangnya kita tahu bahawa sudut yang kita ketahui sebenarnya mempunyai sudut lain yang belum kita ketahui. Kadang-kadang kita tidak nampak dalam diri ada kekurangan, dan sebab itulah kita perlu teman untuk memberitahu. 

Sebagai kesimpulan, jadilah manusia yang cerdik dalam memberi pendapat dan juga menerima perbezaan pendapat. Mengakui kelemahan diri itu sebenarnya bukanlah hina malahan salah satu sifat terpuji.



http://www.kevintrowbridge.com/blog/wp-content/uploads/2012/01/post_divider.jpg

Post ini ditulis oleh:
NOORSHAZLIA BINTI RAZALI
Exco Penajaan SCLC Sesi 2013/2014

No comments:

Post a Comment