ASSALAMUALAIKUM wbt.
Semester baru telah bermula, bermakna tibalah masa untuk kita kembali berjuang bagi mencapai cita-cita dan seterusnya menamatkan pengajian dengan jayanya.
Di sini, saya ingin membangkitkan isu yang kian menjadi-jadi di negara kita. Masih ingatkah lagi anda dengan isu penderaan kanak-kanak yang mana ibu kandung sendiri telah disyaki bersalah? Pertuduhan asal ibu kanak-kanak malang terbabit menyebabkan kecederaan telah dipinda kepada seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh kerana kanak-kanak tersebut akhirnya menghembuskan nafas terakhir selepas koma selama 11 hari.
Selain penderaan fizikal, isu-isu lain yang turut melibatkan golongan kanak-kanak termasuklah gangguan seksual, emosi, keganasan dan eksploitasi kanak-kanak untuk menjadi pengemis dan penculikan. Kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa ini tidak tahu apa tindakan yang sewajarnya mereka ambil atau kepada siapa mereka boleh mengadu apatah lagi jika ahli keluarga sendiri yang melakukan perkara tidak berperikemanusiaan tersebut. Masa depan modal insan ini makin kelam dan dunia kanak-kanak yang sepatutnya penuh warna-warni hilang dek trauma yang menekan diri. Kanak-kanak harus dilindungi dan disayangi, bukan didera dan diseksa.
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
Undang-undang di Malaysia sangat melindungi golongan kanak-kanak. Saya masih ingat sewaktu menjalani latihan praktikal di Mahkamah Majsitret, saya berpeluang mengikuti perbicaraan kes kanak-kanak sebagai orang kena tuduh (OKT). Sewaktu perbicaraan, orang awam yang hadir bagi mengikuti perbicaraan bagi kes-kes lain diminta utuk keluar dari mahkamah, dan hanya kanak-kanak, ibu bapa, hakim dan peguam terlibat sahaja dibenarkan untuk berada spanjang prosiding berlangsung. Ibu bapa kanak-kanak tersebut akan berdiri di sebelah kanak-kanak yang disyaki bersalah dan mereka tidak perlu untuk berada dalam kandang tertuduh seperti OKT dewasa. Kanak-kanak ini juga tidak dipanggil sebagai OKT. Perkataan “sabitan” atau “hukuman” tidak boleh digunakan sepanjang perbicaraan. Hal ini termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) tidak lain untuk melindungi identiti dan perasaan kanak-kanak itu sendiri. Menganggap bahawa kanak-kanak sebenarnya tidak berupaya merancang dan melakukan jenayah atau jika perkara tersebut berlaku, mereka sewajarnya diberi peluang kedua untuk memulakan hidup baharu. Oleh sebab itu, Sekolah Henry Gurney ditubuhkan di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara.
Saya juga pernah mengunjungi Sekolah Henry Gurney di Melaka anjuran SCLC sendiri sewaktu saya masih di semester 1 BLS. Kami hadir dengan objektif memberi semangat kepada mereka untuk membuka lembaran kehidupan yang baru dan melupakan titik hitam yang pernah terlakar dalam kehidupan mereka. Dalam sesi LDK bersama-sama pelajar Sekolah Henry Gurney, saya sebagai fasilitator menyelami rahsia hati mereka yang rata-rata sangat menyesal dengan apa yang telah berlaku dan berazam untuk menebus kembali kesilapan yang telah dilakukan. Ada yang ingin belajar bersungguh-sungguh dan membantu ibu bapa apabila keluar dari sekolah ini nanti, malah ada antara mereka yang menitiskan air mata penyesalan kerana tidak dapat menjadi contoh kepada adik-beradik yang masih kecil. Ada juga yang melakukan kesilapan atas faktor persekitaran, bukan kehendak mereka sendiri.a
Lawatan SCLC ke Henry Gurney |
Kanak-kanak dan golongan remaja ialah golongan yang bakal memimpin negara, menjadi aset tidak ternilai. Jika rosak golongan muda, gelaplah masa depan negara. Maka, setiap pihak bertanggungjawab melindungi aset berharga ini agar mereka tidak terlalu mengikuti darah muda lalu terjatuh ke lembah kehinaan. Mereka juga perlu diberi peluang untuk menebus kesilapan dan diberikan bimbingan daripada keluarga dan masyarakat.
Dan, khabar gembira untuk ahli-ahli SCLC, pada semester kali ini, insyaAllah SCLC sekali lagi menyusun langkah bagi meneruskan tradisi lawatan ke Sekolah Henry Gurney untuk tujuan mendekati adik-adik kita yang mengharapkan sokongan moral daripada kita semua.
Salam sayang, Nashitah.
No comments:
Post a Comment