29 May 2014

Program Satu Desa Sejuta Warna 2014

"Bila dah kembali ke Shah Alam, belajar rajin-rajin. Bila dah berjaya jangan lupakan kami di sini. Kami sentiasa menanti kepulanganmu, anakku." 

"Boleh tak terus tinggal kat sini? Kami dah anggap awak macam anak kami sendiri, sunyi hidup kami bila anak-anak semua dah tak ada nanti." 



Diselangi dengan air mata hiba dan gembira, demikianlah antara ucapan-ucapan daripada warga Felda Lok Heng yang menerima kunjungan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara(UiTM) Shah Alam. 

Student Community Law Club (SCLC) yang merupakan kelab dalaman Fakulti Undang-Undang UiTM Shah Alam telah sekali lagi menganjurkan program Satu Desa Sejuta Warna(Siri 2) yang mana disertai oleh 80 orang pelajar daripada pelbagai kursus pengajian. Bermula dari 26 Mei hingga 29 Mei 2014, para pelajar berkampung di Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor demi mencipta secebis kenangan dan sejuta pengalaman. 

Pada asalnya program ini dirangka dengan bertunjangkan 3 prinsip utama SCLC iaitu pengajaran undang-undang (legal teaching), kesukarelawanan (volunteerism) dan keusahawanan sosial (social entrepreneurship). Untuk mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung dan para pelajar, konsep anak angkat diterapkan. Melalui program ini, para pelajar yang datang dari pelbagai jurusan dan latar belakang berbakti kepada warga kampung menerusi program kesedaran undang-undang, khidmat masyarakat dan jamuan rakyat. Aktiviti explorace bersama kanak-kanak dan malam kebudayaan turut diadakan bagi merapatkan ukhwah antara para pelajar dengan masyarakat kampung sendiri di samping dapat menghidupkan kembali budaya masyarakat Malaysia yang semakin dilupakan generasi muda kini. 

Aktiviti Explorace Bersama Kanak-Kanak 6-14 Tahun

Pengajaran undang-undang kepada masyarakat Felda yang disampaikan melalui modul aktiviti berkumpulan dan juga explorace. Golongan tumpuan untuk modul ini adalah generasi muda masyarakat felda yang berumur antara 6 hingga 14 tahun. Memandangkan kes-kes penculikan dan penderaan kanak-kanak kian membimbangkan dasawarsa kini, SCLC mengetengahkan isu ini demi memberi pendedahan kepada kanak-kanak agar mereka sedar dan tahu cara-cara untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penculikan. 

Pertandingan Mewarna 

Melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi SCLC juga menganjurkan pertandingan mewarna kepada para anak-anak kecil dengan kerjasama daripada tadika Felda Lok Heng. Seramai 25 orang kanak-kanak telah menyertai pertandingan mewarna tersebut dengan ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Tujuan pertandingan seumpama ini dianjurkan adalah untuk mencungkil dan mengasah bakat kanak-kanak felda. Hadiah disampaikan oleh timbalan pengarah program, saudara Nazreen. 

Pemeriksaan Kesihatan 

Selain itu, kebajikan golongan belia dan masyarakat felda yang lain juga tidak dilupakan apabila SCLC menganjurkan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama dari Hospital Kota Tinggi, Johor. Tujuan pemeriksaan kesihatan ini dijalankan adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat kampung terutama belia dan dewasa untuk mengetahui tahap kesihatan masing-masing tanpa perlu bersusah-payah untuk keluar dari kawasan felda untuk ke hospital. Di samping itu, pameran kesihatan juga diadakan agar komuniti kampung dapat didehkan dengan cara-cara pencegahan penyakit seiring dengan kata pepatah, mencegah lebih baik dari mengubat. 

Jelajah kampung 

Para pelajar turut diberi peluang untuk menyumbang bakti kepada warga kampung melalui aktiviti kesukarelawanan. Mereka dipecahkan kepada beberapa kumpulan kecil dan bergerak dari rumah ke rumah bagi menawarkan khidmat bakti dan tenaga kerja secara sukarela. Aktiviti tersebut mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penduduk kampung kerana menurut mereka, selain dapat menanamkan sikap prihatin, ia merupakan antara wadah yang terbaik bagi mendekatkan penduduk kampung dengan mahasiswa.   
Bersukan bersama masyarakat kampung 

Dunia menjadi saksi bahawa sukan mampu menyatukan ummah tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama. Jadi SCLC menganjurkan senam robik bersama seluruh masyarakat kampung tanpa batasan usia dari kecil hingga dewasa. Senam robik ini dikendalikan oleh Persatuan Senam Robik Felda Lok Heng yang sentiasa aktif mewakili Felda ke pelbagai peringkat. Seawal jam 7.30 pagi, semua peserta dan penduduk kampung sudah bersedia di perkarangan Dewan Umum Felda Lok Heng( Barat). 

Di samping itu , SCLC juga menganjurkan perlawanan bola sepak dan bola jaring antara belia kampung dan juga para peserta. Perlawanan bola sepak yang agak sengit berakhir dengan kemenangan yang memihak kepada belia felda dengan jaringan 5 berbalas 3. Peserta program bertungkus lumus merangka serangan bertali arus, namun serangan balas yang lebih ampuh ternyata meruntuhkan kota pertahanan peserta. Walaupun cuaca hujan dan padang becak, semua pemain tetap bermain dengan bersungguh-sungguh. 

Hadiah disampaikan oleh penasihat SCLC, Encik Ismail Badiuzzaman untuk pertandingan bola sepak manakalan bagi bola jaring disampaikan sendiri oleh presiden SCLC, Cik Wan Nashitah Binti Wan Othman. Hidup cergas minda cerdas! 

Malam Kebudayaan 

Malam kebudayaan diadakan pada malam terakhir peserta berkampung di Felda Lok Heng. Acara ini merupakan acara kemuncak bagi program ini. Jemputan khas terdiri daripada ADUN Kota Tinggi, pengerusi Felda, keluarga-keluarga angkat dan seluruh masyarakat Felda Lok Heng. Para jemputan dihiburkan dengan majlis perkahwinan 'olok-olok' mengikut adat dan budaya masyarakat di Johor yang mana dipersembahkan sendiri oleh para peserta. Di samping itu, para jemputan juga disajikan dengan kenduri rakyat yang mana pelbagai juadah tradisional disediakan oleh masyarakat kampung sendiri dibantu oleh para peserta pada waktu pagi. 

Kami juga mengucapkan terima kasih atas tajaan daripada Bank Simpanan Nasional(BSN), Glaxo Smith Kline (Ribena dan Sensodyne), LionCorp(Kodomo, Shokubutsu dan Fresh&White),Fama, Pasaraya Mydin dan Faber Castle. Kami harap dapat menjadi inspirasi dan pembakar semangat kepada legasi kepimpinan SCLC pada masa akan datang untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Tahniah diucapkan kepada saudara Syahril Anuar Bin Harun selaku pengarah program ini.

Sekian sahaja daripada saya, Muhammad Hariz bin Abd Mutalib.

Untuk gambar penuh sepanjang program ini, sila tekan SINI.

25 May 2014

Legal Explorace Camp (LEC)

Program : Legal Explorace Camp 2014
Tarikh : 24 Mei 2014
Tempat : SMK (P) Kapar, Klang
Pengarah Program : Nur Aimy Farhana Binti Noh
Ketua Fasilitator : Putri Azureen Rais Binti Ismail



Sebanyak 150 orang peserta yang akan menyertai program ini. Mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah menengah tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM akhir tahun ini. Rasionalnya adalah kerana golongan sasaran ini sedang dalam tempoh peralihan daripada alam persekolahan ke alam universiti yang lebih mencabar dan memerlukan mereka untuk mendapat pendedahan tentang cabaran dunia luar serta sedikit sebanyak menerapkan mereka dengan elemen perundangan sebagai asas untuk mempersiagakan diri terhadap perkara yang wajar dan yang tak wajar dilakukan.

Objektif Program
1. Mempromosikan UiTM sebagai pilihan utama para remaja dalam melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
2. Menyampaikan kepada para peserta tentang peluang-peluang pengajian yang disediakan dalam UiTM.
3. Menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan melalui "legal teaching' dan memberi pendedahan dari aspek undang-undang.

Aktiviti yang dijalankan adalah seperti penerangan tentang Fakulti Undang-Undang di UiTM bagi memperkenalkan kos ini sebagai salah satu kos pilihan di universiti, tayangan video, berbincang mengenai isu semasa, sketsa, dan explorace.





Tahniah diucapkan kepada pengarah program, Amy dan ketua fasi, Putri & #teamlec. Korang memang letop!


Pelajar-pelajar SMK(P) Kapar memberikan kerjasama yang sangat baik. Sporting habis! Korang semua memang letop! Terima kasih kerana sudi meluangkan masa bersama kami. Kami sungguh terharu. Kami doakan kejayaan adik-adik semua SPM nanti. Best of luck girls!


24 May 2014

Dari Meja Exco Penajaan : Pilihan Terbaik



Bismillahirrahmanirrahim.

Ingin saya kongsikan sebuah kisah. 

Dalam perbicaraan sebuah kes samun, Yang Arif sempat menitipkan kata-kata nasihat kepada tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman dengan berkata, “Dalam hidup ni, kita ada pilihan, jangan jadikan kesusahan sebagai alasan untuk melakukan jenayah.” 

Memang benar. Tanpa disedari, kita sentiasa membuat PILIHAN dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil perkara seperti "Apa yang patut aku makan hari ni?”. Kita tak pernah terlepas dari membuat PILIHAN yang akhirnya menentukan arah tuju kita sebagai seorang hamba Allah. 

“Katakanlah: (Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) Yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja Yang menanggung dosanya; dan seseorang Yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” (Al-An’am : 164) 

Ayat di atas memberi maksud yang kita hanya akan menanggung dosa dari setiap perbuatan yang kita lakukan sendiri. Oleh itu, sebagai hamba Allah yang penuh dengan kekhilafan, kita hendaklah sentiasa memohon petunjuk dari Allah s.w.t ketika melakukan apa-apa jua pilihan dalam hidup ini agar tak tersalah langkah. Kita bertanggungjawab sepenuhnya dalam setiap pilihan yang dibuat.

17 May 2014

Dari Meja Exco Penajaan : Hormati Perbezaan Pendapat



Saya terpanggil untuk mencoret sesuatu mengenai tajuk ini kerana merasakan, ramai dalam kalangan manusia yang tidak mampu berlapang dada menerima pendapat manusia lain walaupun dia mempunyai pendapat sendiri, tidak kira dalam pelbagai urusan. 

Saya dengan cara saya. Awak dengan cara awak. Dia dengan cara dia. Selalu begitu, bukan ? 

Perbezaan pendapat sebenarnya adalah sangat baik kerana ia mencetuskan idea yang berlainan, cara fikir yang berbeza serta pengetahuan yang meluas. Sesungguhnya, perbezaan pendapat itu adalah satu rahmat. Yang menjadi rahmat itu apabila masing-masing berbesar hati menerima dan bersedia berhujah dengan hujah ilmiah tanpa di dorong dengan nafsu amarah.

16 May 2014

Legal Explorace Camp (LEC) 2014!

Salam dan hai semua!

Berminat untuk menjadi fasilitator? SCLC menjemput anda dan rakan-rakan anda untuk menyertai program kami Legal Explorace Camp (LEC)!



Tarikh: 24 May 2014 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat: SMK (P) Kapar, Klang 
Sasaran: Pelajar Tingkatan 5

Aktiviti:
  • Slot "Selangkah ke Fakulti Undang-Undang"
  • Slot Pengajaran Undang-Undang
  • Explorace
Jom! Tunggu apa lagi? Daftarkan nama anda sebagai fasilitator sekarang!

Hubungi:
Hariz 0169479710
Nikki 0172011416


Makanan, kupon, sijil, pengangkutan disediakan.

10 May 2014

Dari Meja Exco Pengantarabangsaan : Backpack




“The world is a book

and those who do not travel
read only one page”
-St. Augustine

Assalammualaikum & salam sejahtera.

Sekarang ni tengah panas trend anak-anak muda macam kita ni suka travel atau lebih dikenali dengan perkataan ‘backpacking’ tak kiralah dalam negara ataupun luar. Kebanyakannya memang luar negaralah jadi tumpuan. Mungkin dulu orang-orang berada je yang boleh travel jauh-jauh ni. Orang-orang yang dah bekerjaya, yang dah ada duit sendiri. Sekarang ni nampak gayanya student lagi panjang langkah dari orang-orang yang dah bekerjaya ni.

06 May 2014

Satu Desa Sejuta Warna 2 Kini Kembali!


Salam semua! :)


Program Anak Angkat & Khidmat Komuniti --
SATU DESA SEJUTA WARNA kini kembali!

Rasai pengalaman yang hebat bersama warga Felda Lok Heng, Kota Tinggi, Johor pada 26 hingga 29 Mei ini! Terbuka kepada semua pelajar UiTM Shah Alam!

Banyak aktiviti yang menarik telah dirangka. Warnai cuti anda dengan sejuta kemanisan yang pastinya menyeronokkan.

Daftar sekarang!
Hubungi : Syahril 017-840 5535
Fatin 013-6460890

Yuran penyertaan cuma RM 20 sahaja!
Makanan, tempat tinggal, pengangkutan, kupon, sijil, t-shirt disediakan.

UPDATE
Berminat menjadi sukarelawan? Ingin menimba ilmu dan pengalaman berharga untuk turut sama memeriahkan program ini?
Kami memerlukan beberapa orang ahli keluarga SCLC untuk menjadi sebahagian daripada kami di unit pengurusan. Yang tidak pernah menjadi AJK atau terlibat dalam mana-mana program kelab tetapi sangat teruja untuk turut sama amat dialu-alukan. Terbuka kepada pelajar Fakulti Undang-Undang sahaja.

Hubungi : Alia (017-6824011)

JOM KE JOHOR! :D


05 May 2014

FOOD CRIME!





Come and join the FOOD CRIME -- the combination of the International Food Fair & Criminal Week events, organised by Sekretariat Mahasiswa Fakulti Undang-Undang, in collaboration with SCLC.

VENUE : MINI PAVI LAW FACULTY
DATE : 7th & 8th OF MAY 2014

03 May 2014

Dari Meja Exco Multimedia & Informasi : Pemerdagangan Kanak-Kanak­



Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Seperti mana yang telah dipraktikkan oleh Majlis Tertinggi SCLC, pelbagai isu-isu semasa dan undang-undang yang berlaku dalam realiti kehidupan telah dibincangkan di blog ini. Dan hari ini tibalah pula giliran saya selaku Exco Komunikasi untuk membincangkan satu topik yang tidak asing dan masih berlaku di dunia hari ini iaitu pemerdagangan manusia. 

Isu permerdagangan manusia ini bukanlah fenomena baru yang terjadi dalam masyarakat kita pada hari ini. Dan kanak-kanak antara mangsa yang sering diperdagangkan oleh mereka yang tidak berhati perut kerana golongan cilik ini tidak berupaya untuk melawan serta mudah untuk dieksploitasi. Perbincangan saya pada edisi kali ini akan lebih cenderung terhadap situasi sebenar yang berlaku di negara kita sendiri, Malaysia. 

Kes pemerdagangan orang ini melibatkan keganasan terhadap kanak-kanak seperti penderaan dan kecederaan fizikal dan mental, pengabaian, eksploitasi dan penderaan seks.