Bismillahhirrahmanirrahim.
“Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu, mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah, dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula, (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya.)” (Surah al-Mulk, 67:15)
“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut-mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta,tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada dalam dada.” (Surah Al-Hajj, 22:46)
Ayat-ayat cinta dari Allah ini menerangkan kepada kita melakukan perjalanan untuk mencari rezeki yang ada di muka bumi ini, juga perlu diarahkan bagi membuka mata hati, menggunakan pancaindera kurniaanNya untuk menyingkap hakikat sesuatu kejadian, memahami penciptaan makhluk-makhluk Tuhan yang akan dihidupkan semula di akhirat nanti. Kita juga perlu mengambil pengajaran dari sejarah manusia terdahulu yang diazab oleh Allah.
Jadi, apakah yang termasuk dalam kategori perjalanan yang dapat dilakukan supaya dapat mencapai maksud itu? Ada lima jenis perjalanan yang dapat kita lakukan bagi tujuan itu.
1) Mengamati Ciptaan Tuhan
Tuhan menciptakan segala sesuatu, baik yang ghaib ataupun yang nyata supaya keberadaanNya dapat dirasai. Setiap makhluk ciptaan Allah apabila diperhatikan dengan penuh kesedaran ada tanda-tanda yang mampu membawa kita lebih mendekatkan diri kepadaNya. Keserasian, keindahan, keunikan, kepelbagaian jenis dan watak-watak yang khas menunjukkan penciptaan yang luar biasa, diciptakan oleh Tuhan yang Maha Kuasa, Allah S.W.T, Pencipta Agung yang tiada setanding denganNya. Apabila perkara ini sudah boleh kita sedari atau terima, tentunya jiwa kita tergerak untuk terus mendekatkan diri kepadaNya. Kesedaran seperti inilah yang membangkitkan getaran-getaran rohani daam jiwa manusia dan membimbing manusia mencari Allah Maha Pencipta.
Firman Allah;
“Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah-faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbir segala urusan, Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan)” (Surah Ar-Rad,13:2)
2) Memerhatikan Peninggalan Sejarah
Hidup kita terus berlalu dan tidak akan kembali semula. Masa hadapan adalah masa yang ghaib kerana kita tidak pernah tahu apa yang terjadi pada masa hadapan. Sebenarnya, alam ini sudah diatur oleh sunnatullah yang kekal. Semua kejadian memiliki bentuk yang pasti dan seragam dari masa ke semasa. Bentuk atau pola yang teratur ini sengaja diciptakan Allah supaya manusia menemui isyarat-isyarat bagi menghadapi masa hadapan. Isyarat-isyarat ini dapat kita pelajari dengan berpandukan perjalanan masa lalu manusia itu sendiri yang kita sebut sebagai sejarah. Sejarah masa lalu umat manusia menyimpan banyak pengajaran yang dapat kita jadikan bekalan untuk membawa kita menuju masa hadapan.
“Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah An-Nur,24:34)
“(Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu, dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran.” (Surah Al-Haqqah,69:12)
3) Menuntut Ilmu Pengetahuan
Perjalanan berikutnya yang akan membuka peluang untuk menemui Tuhan adalah mencari ilmu pengetahuan. Menuntut ilmu menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim. Orang yang berilmu lebih disukai daripada ahli ibadat tanpa ilmu.
Dari Abu Umamah r.a bahawasanya Rasulullah saw bersabda : Kelebihan orang yang berilmu terhadap ahliibadah adalah seperti kelebihanku terhadap orang yang paling rendah diantaramu sekalian. “Kemudian, Rasulullah saw bersabda : Sesungguhnya Allah, malaikat serta penghuni langit dan bumi hingga semut yang berada di sarangnya dan juga ikan, sentiasa meminta rahmat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia” (HR Al-Tirmidzi)
4) Jihad Fisabilillah
“Berjihadlah terhadap orang-orang musyrik dengan harta, jiwa dan lisan kalian” (HR Ahmad, Abu Daud, Al-Nasa’i, Ibn Hibban, Al Hakim dan Anas bin Malik)
Jihad dari segi bahasa bererti bersungguh-sungguh melakukan sesuatu. Manakala dari segi istillah membawa maksud bersungguh-sungguh mencurahkan segenap kemampuan bagi memperjuangkan dan menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Oleh kerana itu tidak salah bila sebahagian ulama menyamakan jihad dengan perang. Perjuangan apa pun, penghujung jalannya dalah perang. Berjuang di jalan Allah dengan apa cara sekalipun, pada hakikatnya adalah berperang melawan kezaliman.
5) Haji dan Umrah
Melalui ibadah haji dan umrah ini, Allah swt memberi peringatan kepada umat manusia supaya selalu berada pada agama tauhid yang benar. Sewaktu mengerjakan ibadah ini, kita dibawa menyaksikan bukti-bukti sejarah umat terdahulu yang sama-sama diseru mengesakan Allah dan menyaksikan lambang kebesaranNya.
Wallahualam.
(Rujukan Tuhanku Maha Best Oleh Muhammad D. Sensa)
Post ini ditulis oleh:
NUR FAIZURA BINTI ISHAK
Juruaudit 2 SCLC Sesi 2013/2014
No comments:
Post a Comment