Tarikh : 31 Mei – 3 Jun
2015
Lokasi : Kampung Baru Siong, Baling, Kedah
Pengarah Program : Nur Firzana Izzati
Objektif :
1) Memberi pendedahan dan informasi undang-undang kepada masyarakat
2) Memberi motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah untuk berjaya dalam pelajaran
3) Memberi khidmat kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan dan kemasyarakatan
4) Memberi pendedahan tentang kehidupan luar bandar kepada peserta dan AJK
5) Membina rangkaian antara kelab SCLC dengan badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat di kampung
Ringkasan Program :
Student Community
Law Club (SCLC) yang merupakan kelab dalaman Fakulti Undang-Undang UiTM Shah
Alam telah sekali lagi menganjurkan program Satu Desa Sejuta Warna yang kini
merupakan siri ketiga. Program ini telah disertai oleh 90 orang pelajar dari
pelbagai kursus pengajian yang bermula dari 31 Mei 2015 sehingga 3 Jun 2015
untuk memperoleh pengalaman dan mencipta kenangan di Kg. Baru Siong, Baling, Kedah.
Pada asalnya program ini dirangka dengan
bertunjangkan 3 prinsip utama SCLC iaitu pengajaran undang-undang (legal
teaching), kesukarelawanan (volunteerism) dan keusahawanan sosial (social
entrepreneurship). Untuk mengeratkan lagi hubungan antara penduduk kampung dan
para pelajar, konsep anak angkat diterapkan. Melalui program ini, para pelajar
yang datang dari pelbagai jurusan dan latar belakang berbakti kepada warga
kampung menerusi program kesedaran undang-undang, khidmat masyarakat dan jamuan
rakyat. Aktiviti explorace bersama kanak-kanak dan sukan rakyat turut diadakan
bagi merapatkan ukhwah antara para peserta dengan masyarakat kampung sendiri di
samping dapat menghidupkan kembali budaya masyarakat Malaysia yang semakin
dilupakan generasi muda kini.
Pengajaran undang-undang dan ceramah
kerjaya
Pengajaran undang-undang dan ceramah
kerjaya yang melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 Sekolah
Menengah Kebangsaan Siong untuk membuka mata mereka mengenai hala tuju mereka
selepas SPM. Pelajar-pelajar dibahagikan mengikut kumpulan dan melakukan
aktiviti berkumpulan.
Aktiviti explorace dan pertandingan
warna.
Melentur buluh biarlah dari rebungnya, jadi
SCLC juga menganjurkan pertandingan mewarna kepada para anak-anak kecil bagi
mengasah bakat mereka melalui pertandingan ini. Explorace yang melibatkan
peserta dan kanak-kanak dalam satu kumpulan juga telah merapatkan ukhuwah
antara mereka. Hadiah diberikan kepada pemenang dan sagu hati diberikan kepada
peserta yang terlibat.
Bersukan bersama masyarakat kampung
Dunia menjadi saksi bahawa sukan mampu
menyatukan ummah tanpa mengira bangsa, bahasa dan agama. Jadi SCLC menganjurkan
senam robik dan zumba bersama peserta-peserta SDSW di samping melakukan sesi
suai kenal. Seawal jam 7.30 pagi, semua peserta sudah bersedia di perkarangan
rumah urusetia. Di samping itu , SCLC juga menganjurkan perlawanan futsal antara
belia kampung dan juga para peserta pada waktu malam di padang futsal 1
Malaysia. Pemain-pemain
kelihatan gembira dan berseronok walaupun perlawanan futsal ternyata sengit.
Bukan itu sahaja,
SCLC juga telah mengatur slot ‘Sukan Rakyat’ yang melibatkan seluruh penduduk
kampung dan peserta-peserta. Aktiviti menarik yang melibatkan banyak permainan
kampung seperti tarik upih dan boling padang yang memberi peluang kepada para
peserta untuk mencuba permainan yang tidak pernah mereka main sebelum ini.
Kenduri Rakyat
Malam terakhir
merupakan malam kemuncak bagi program Satu Desa Sejuta Warna siri ketiga di
mana semua peserta dan penduduk kampung dijemput untuk menghadiri kenduri
rakyat yang bertemakan Hari Raya. Tampak kacak dan manis para peserta dan
keluarga angkat mereka mengenakan busana Hari Raya serta dimeriahkan lagi
dengan bunga api sebagai tanda menyambut hari raya. Juadah hari raya seperti
lemang dan ketupat palas yang disediakan dengan berkonsepkan ‘rewang’ telah
dihidangkan pada malam tersebut. Selepas hampir
seharian ‘merewang’ dan makan kenduri, peserta diberi peluang untuk mandi di
Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong.
Pengisian program Satu Desa Sejuta Warna
ini telah memberi peluang kepada para peserta untuk mencuba perkara baru di
samping membuka minda mereka untuk melihat dunia dari sudut yang lain. Sejuta
penghargaan dan terima kasih diucapkan buat sokongan dan kesudian penduduk Kg.
Baru Siong kerana melibatkan diri bagi melancarkan program ini.
Teringat bait-bait lirik lagu Memori
Tercipta nyanyian Sheila Amzah saat terkenangkan memori di Kg. Baru Siong,
Baling Kedah. “Di sini jua memori tercipta, walau seketika terjalin kasih kita.
Mungkin disini kita kan terpisah, kenangan bersama tiada kulupa.”